SELEPAS berakhirnya pertandingan Eurovision Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 14 November lalu, peminat Aina Abdul mula tertanya-tanya mengenai kemungkinan penyanyi kesayangan mereka itu bakal berkolaborasi dengan peserta lain dalam program berkenaan.Antara yang menjadi sebutan ialah wakil Filipina yang juga merupakan juara edisi pertama program berkenaan, Carmelle Collado yang sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berkolaborasi dengan Aina. Mengulas mengenai perkara tersebut, Aina, 33, berkata dia terbuka untuk bekerjasama dengan penyanyi berkenaan sekiranya diberi peluang pada masa hadapan.Aina tidak mahu beri harapan pada peminat."Kolaborasi saya dan Carmelle, tentu saya akan menerimanya dengan hati terbuka. Bagaimanapun, buat masa ini saya belum nampak sebarang perancangan ke arah itu," katanya.Aina bagaimanapun tidak mahu memberikan sebarang janji kepada peminat kerana permintaan untuk menghasilkan lagu kolaborasi bersama penyanyi tempatan juga masih belum dapat ditunaikan sehingga kini.Justeru, dia bimbang peminat akan kecewa sekiranya sekali lagi memberikan harapan mengenai kerjasama bersama penyanyi luar negara.ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul sebak, ada pihak gembira kekalahan di Eurovision AsiaARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul akui terbeban galas harapan ramai, tak pernah terima sokongan terlalu besar sepanjang karier"Saya tidak mahu menjanjikan sesuatu kepada peminat kerana lagu kolaborasi bersama penyanyi tempatan pun masih dituntut mereka sehingga sekarang dan saya masih belum dapat tunaikan."Nak berkolaborasi dengan artis dari negara sendiri pun lagu masih belum siap," ujarnya.Dalam pada itu, Aina menyifatkan Carmelle sebagai penyanyi berbakat besar selain mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam industri muzik.Aina kagumi bakat Carmelle (kanan)."Namun, saya cuma ingin katakan bahawa saya sayangkan Carmelle. Saya rasa dia seorang penyanyi yang sangat berbakat dan mempunyai potensi besar. Tambahan pula, usianya baru 19 tahun."Ketika saya berusia 19 tahun, saya berada di mana? Dalam LRT! Sedang dalam perjalanan ke kelas vokal. Itu sahaja," katanya berseloroh.Sebelum ini dalam program berkenaan, Aina yang pertama kali mewakili Malaysia berjaya mengumpul 152 markah sekali gus menduduki tempat keempat daripada 11 peserta.Sementara itu, Carmelle muncul juara menerusi lagu Sobra-Sobra, manakala wakil tuan rumah, duo Mang x Daou berada di tempat kedua diikuti dengan penyanyi Vietnam Tóc Tiên.